Tuesday, June 21, 2011

..:: Cemburu ::..

Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan.

Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak reda pada takdir dan ketetapan Allah SWT. Jika kita sendiri tidak reda pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredaan Allah SWT? Dan jika Allah tidak reda pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi?

Imam Maulud , seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih baik dan lebih mulia dari orang lain. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa orang yang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, di samping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.


Jika kita dapati ada dikalangan masyarakat kita suka berbuat maksiat tatapi hidup kaya raya . Tidak semestinya kekayaan itu diberkati Allah SWT. Kadang-kadang rezeki yang Allah SWT beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata.

Rasullulah SAW bersabda maksudnya : "Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah".- (Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

Istidraj adalah nikmat yang Allah SWT berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan buangkan sifat cemburu yang negatif. Cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi  kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki.

Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.



:: xkisahla cemburu cemana pun kan.cemburu tetap cemburu.
sudah-sudahlah tu.taubat yok..taubat nasuha.taubat yg sebenar-benar taubat~

No comments:

Post a Comment